Sabtu, 31 Maret 2012

Ciri-ciri Ibu Sejati

Ciri-ciri Ibu Sejati

Sifat utama yang dibekalkan oleh Allah kepada mana-mana ibu adalah sifat kasih sayang yang tinggi. Dengan kasih sayang inilah seorang ibu itu benar-benar dapat menjadi ibu. Dari sifat kasih sayang ini bercambah sifat-sifat lain yang menyerlahkan lagi sifat keibuan sejati pada dirinya.
Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, berikut adalah antara ciri-ciri yang selalunya ada pada ibu-ibu yang memiliki sifat keibuan sejati:

1. Kasih-sayangnya menyerlah
Ibu yang sejati di dalam Islam akan memberi kasih sayang bukan saja dalam bentuk belaian dan kemanjaan tapi juga didikan. Di samping keperluan fizikal anaknya dipenuhi, keperluan rohani turut diisi. Kerana tingginya kasih sayang ibu ini, dia mengharapkan kejayaan yang berkekalan buat anaknya.
Justeru anak itu dididik dan dibentuk peribadinya mengikut kehendak Allah supaya terjamin masa depannya di dunia dan di akhirat. “Anak itu milik Allah, amanah yang dipinjamkan kepada kita maka sewajarnya kita membentuk peribadi mereka sepertimana yang dikehendaki oleh Allah,” ujar Us. Hj. Mohd Nasib Zawawi dari firma motivasi Fitrah Perkasa Sdn. Bhd.

2. Prihatin dan ambil berat

Kadang-kadang anak sudah besar panjang pun, ibu masih prihatin, ambil berat dan ambil tahu tentang diri anaknya. “Ibu saya sampai sekarang, bila jumpa dia akan tanya, kamu dah solat ke belum,” kata Hj. Mohd Hanim Mohd Tahir, pakar motivasi.

3. Halus perasaan

Ibu yang sejati dapat membaca pergolakan jiwa anaknya hanya dengan melihat air muka dan tingkah laku si anak. Perasaannya terhadap anaknya begitu halus. Sedari kecil anak itu di bawah pengawasannya, dia sudah arif benar ‘bahasa badan’ anaknya. “Ibu dapat baca dari riak wajah walaupun anak-anak tidak beritahu,” kata Ustazah Nasiyah Hj. Abd. Razak, penulis tamu ANIS.

4. Suka beri nasihat

Sifat seorang ibu sejati, dia suka dan sentiasa memberi nasihat kepada anaknya. Oleh itu dia selalu menjadi kaunselor dan tempat rujuk anak-anaknya. Dalam kitab ada dinukilkan pesanan seorang ibu terhadap anak perempuannya yang akan melangsungkan perkahwinan.
Sifat suka memberi nasihat ini didorong oleh keinginan untuk melihat anaknya mendapat yang terbaik dalam hidupnya.
5. Sangat sabar dan berlapang dada
Dari wajahnya sudah dapat dibaca sifat sabar dan lapang dadanya. Bukan dia tidak pernah marah tapi dia pandai dan mampu mengawal perasaan. “Mak saya bila anak-anaknya datang, dia layan semuanya dengan wajah dan senyum yang manis,” cerita seorang teman mengenai ibunya yang berusia akhir 70-an.
“Tak pernah dia tunjuk rasa tak senang atau marah. Walhal bukan tidak ada antara kami yang pernah mengecilkan hatinya. Bagi saya, itulah ibu sejati.”
6. Lembut tapi tegas
Wataknya ‘adjustable’. Di mana perlu berlembut, dia akan berlembut. Di mana perlu tegas dan tidak boleh beri muka, dia akan tunjukkan ketegasan. Namun waktu tegas, sifat kelembutannya masih terjaga. Dia tegas bila melibatkan soal disiplin, peraturan atau perintah Allah, tapi wataknya yang lembut tidak pula bertukar keras dan kasar.
7. Suka meraikan
Walaupun anak-anak sudah besar dan masing-masing telah berkeluarga, seorang ibu yang tinggi sifat keibuannya masih suka meraikan dan melayan keinginan anaknya. Bila anak balik bercuti misalnya, dia akan turun ke dapur menyediakan makanan kegemaran si anak. Jika anak-anak ramai, dia akan meraikan dan beri perhatian pada setiap anak.
Dia mahu anak-anaknya selesa dan terpenuhi keperluannya. Hingga kerap kali dia mendahulukan keperluan dan keinginan anak-anak dari keperluan dan keinginannya sendiri. Malah ke tahap dia mengorbankan keinginannya semata-mata untuk memberi yang terbaik kepada anak-anak.

8. Tidak pilih kasih

Tidak ada di kalangan anak-anak yang berasa dirinya kurang disayangi. Selain terhadap anak-anak sendiri, sifat menyamaratakan kasih sayang ini dapat dilihat pada layanannya terhadap anak orang lain. “Anak orang lain macam anak dia juga,” ungkap seorang kawan ketika bercerita tentang seorang mak cik yang pernah ditemuinya.
Dengan kekuatan sifat keibuannya, seorang ibu dapat membentuk dan mencorak anak-anak di rumah, mencorak anak-anak didiknya di sekolah jika dia seorang guru, atau membentuk ‘anak-anak’ di pejabat jika dia seorang ketua pejabat.

7 Responses to “Ciri-ciri Ibu Sejati”


  1. Sejak dari kedil kudambakan kasih seorang ibu sejati, namun kasih yang kuterima tidak seperti yang diidamkan.Setiap kali aku memberikan contoh ibu-ibu sahabatku yang baik…ibuku akan mencemuhku dan mengata yang bukan-bukan. Namun, aku tidak menyalahkan ibuku kerana aku tahu itu adalah ujian untukku dan mendidik aku untuk mendalami kasih seorang ibu yang sejati dan berazam untuk menerapkan nilai-nilai ibu sejat dalam diriku bila aku menjadi ibu kelak kerana aku tidak mahu anak-anakku merasaka apa yang aku rasa….ameen..


  2. ibuku berselisaih denganku kerana aku menyuarakan sikap abg dan kakak ipar yang pandai bermuka-muka.Ketika itu aku berehat dikampung kerana tekanan darah amatlah tinggi.gangguan anak saudara ,kakak ipar yg kedekut pandai bermuka dan cakap belakang mengata ibuku di belakang pengetahuan ibuku membuatkan aku memendam perasaan.lantas tak tahan dengan penipuannya kesabaranku terungkai juga.kebetulan darah tengah naik aku meluahkan perasaan depan ibu sambil menangis.akhirnya ibu menyumpah seranahku dan membuangku bahkan kalau mati pun tak mahu melihat aku ziarahi mayatnya.di depan jiran dan orang kampung abang dan ibu menyebarkan seribu satu cerita buruk tentangku.sedangkan selama ini aku dan keluarga merentasi hutan rimba gerik di malam buta pulang dari sg petani ke terengganu kerana melawat ibu.akhirnya kerana sikap ibu yg pilih kasih,abang dan kakak ipar yg bersikap talam dua muka aku di singkirkan ibu sendiri.dan sekarang aku menerima segaaala kepahitan ini,bertarung menyembuhkan sakit,sedih dan pilu dengan sikap ibu.

  3. Emak macam tidak menyedari kehadiranku di dunia yang penuh pancaroba ini. Setiap kaliku ingin merasa belaian manjanya setiap kali itu juga hatiku sering disakiti dek kerana sikapnya yang pilih kasih. Ada juga beberapa ketika aku terfikir adakah kehadiranku di dunia ini tidak membawa apa-apa erti dalam hidupnya??? Jika kakakku / adikku yang lain ingin meminta sesuatu dari emak, emak pasti akan memberikan tanpa sebarang alasan, tapi kenapa tidak aku? Dengan sikapnya yang sebegini membuatkanku fikir lebih baik aku pergi dari hidupnya selama-lamanya agar dia lebih bahagia tanpa kehadiranku. Maafkanku sekiranya kehadiranku di dunia ini menyusahkan hidupmu wahai ibuku!!!

Tidak ada komentar:

Posting Komentar